Sunday, February 20, 2005

 

Lembaga Displin Umno

Apa dah jadi dengan Lembaga Disiplin Umno
Oleh Pena Suasa

MAJLIS Tertinggi (MT) baru sahaja mahu melantik Panel Rayuan untuk mendengar rayuan anggota Umno yang dikenakan tindakan disiplin sedangkan tindakan oleh Lembaga Disiplin sudah dibuat hampir enam bulan yang lalu.
Panel Rayuan yang diketuai Datuk Zuki Kamaluddin (bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang dan bekas Ketua Umno Bahagian Raub) akan dibantu timbalannya Tan Sri Zaki Tun Azmi yang merupakan orang yang rapat dengan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Lembaga Disiplin yang diketuai Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail (Ku Din) dan dibantu Zuki sebelum ini tentunya 'terasa' dengan MT Umno yang tidak memberi apa-apa 'kesan' kepada semua keputusan yang dijatuhkan Lembaga Disiplin.
Apa tidaknya. Jika dulu sesiapa yang dikenakan tindakan disiplin akan turut mengaitkan jawatan-jawatan lain termasuk MT dan Exco Kerajaan Negeri tetapi kini, sesiapa yang dikenakan hukuman, boleh tersenyum simpul kerana MT melindungi mereka.
Sepatutnya anggota-anggota Lembaga Disiplin sudah boleh meletakkan jawatan dan membubarkan sahaja lembaga ini jika mereka sendiri sedar bahawa tindakan dan sumbangan mereka kepada parti tidak dihargai!
Tetapi mungkin anggota lembaga ini merasakan mereka 'masih memerlukan' pertolongan orang-orang atasan dalam Umno untuk kepentingan masing-masing, khususnya dalam perniagaan.
Mereka sendiri maklum, untuk kembali bertanding pilihan raya, terpilih menjadi calon, atau dilantik menjadi Senator sudah 'susah' sebab faktor usia masing-masing di ambang senja tetapi kepentingan perniagaan, kepentingan anak-anak dan kroni mengatasi 'maruah diri sendiri' dengan menjadikan diri mereka bahan ketawa orang ramai.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah, Allahyarham Dato' Zainol Md Isa adalah satu contoh bagaimana 'teraniayanya' beliau ketika dijatuhkan hukuman digantung keahlian selama tiga tahun.
Jawatan Ketua Umno Bahagian Baling yang dimenanginya dengan mengalahkan Allahyarham Dato' Raja Ariffin Raja Sulaiman terpaksa dilepaskan dan jawatan Exco Pertanian Negeri juga dipaksa untuk dikosongkan.
Allahyarham bukan sahaja menerima hukuman lebih dari tiga tahun kerana 'tiada surat perlepasan' dari pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam MT Umno, malahan, peluangnya untuk kembali menawarkan diri menjadi calon Ketua Umno Bahagian Baling terlepas begitu sahaja kerana 'karenah dan permainan' pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam MT Umno.
Berbeza dengan Datuk Mohd Faizal Abdullah di Kuantan boleh dilepaskan dari hukuman tiga tahun, sebelum sampai tarikh akhir kerana beliau dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan pihak-pihak tertentu.
Malahan, beliau dipilih bertanding dalam pilihan raya umum 2004 yang lalu. Cuba lihat dan kaji secara teliti, apakah 'dosa' Allahyarham Dato' Zainol kepada Umno dan apakah 'pahala' Dato' Faizal kepada Umno!
Tentu kita dapat merumuskan, dalam Umno jika tidak mempunyai akses yang baik dengan orang-orang yang berkuasa di atas, nasib kita sentiasa menjadi 'telur di hujung tanduk'.
Atas nama 'politik wang' dan Lembaga Disiplin, boleh sahaja seseorang dijatuhkan sesuka hati dan ada juga yang boleh diselamatkan walaupun 'bentuk dan ragam' kesalahan adalah sama dan serupa.
Seorang lagi individu yang disabitkan dengan kesalahan politik wang ialah Datuk Abdul Azim Mohd Zabidi yang kini sudah pun dilantik menjadi Bendahari Umno. Azim kehilangan jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Bintang dan terpaksa juga melepaskan jawatan Ahli MT yang dimenanginya.
Namun, beliau 'dilepaskan' ketika cawangan-cawangan di Umno Bahagian Bukit Bintang baru sahaja memulakan mesyuarat dan percalonan. Beliau bernasib baik, mendapat cukup percalonan (kerana cawangan di Bahagian Bukit Bintang sedikit) untuk melayakkannya bertanding semula dan seterusnya memenangi pertandingan itu.
Azim mengalahkan Datuk Ab Raof Yusoh yang juga Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia ketika itu.
Hukuman terhadap Dato' Faizal dan Dato' Azim menyebabkan kedua-duanya naik pangkat. Faizal terpelih menjadi ADUN dan Azim selain kekal sebagai Pengerusi BSN turut dilantik menjadi Bendahari Umno Malaysia.
Berbeza dengan Allahyarham Dato' Zainol, cawangan-cawangan dalam Umno Bahagian Baling hampir 200 cawangan. Untuk melayakkan Allahyarham bertanding, sekurang-kurangnya 75 cawangan perlu mencalonkannya.
Akhirnya, disebabkan kelewatan perlepasan Allahyarham dari hukuman Lembaga Disiplin, Allahyarham tidak mendapat cukup percalonan untuk kembali memimpin Umno Bahagian Baling. Tidak cukup percalonan bukan kerana kurang popular tetapi menjadi mangsa Ibu Pejabat Umno.
Apakah Lembaga Disiplin dan MT Umno tidak rasa berdosa dengan apa yang berlaku ke atas Allahyarham Dato' Zainol?
Hari ini, dua penjawat jawatan kerajaan yang dikenakan tindakan disiplin boleh tersenyum riang kerana masing-masing kekal sebagai Exco Kerajaan Negeri dan seorang lagi kekal sebagai Setiausaha Parlimen.
Datuk Wira Amid Nordin yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Melaka masih dipertahankan walaupun sudah dijatuhkan hukuman gantung keahlian selama tiga tahun kerana disabitkan kesalahan ketika pemilihan Umno Bahagian Kota Melaka.
Sementara seorang lagi, Samsu Baharon Abdul Rahman yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Silam terus kekal duduk di kerusi Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi walaupun turut digantung keahlian selama 3 tahun.
Bila mereka bukan lagi ahli Umno, parti manakah mereka wakili sekarang? Kenapa ada wakil yang tidak mewakili mana-mana parti boleh duduk dalam Exco Kerajaan Negeri Melaka?
Apakah kerana Ketua Menteri Melaka merupakan Naib Presiden Umno menyebabkan Lembaga Disiplin tidak mampu untuk berbuat apa-apa? Di mana maruah Lembaga Disiplin dalam isu ini.
Atau tidak ada apa-apa soal maruah dalam isu ini asalkan ada 'kepentingan' perniagaan yang dikejar mereka?
MT juga seolah-olah mempermainkan Lembaga Disiplin kerana tidak memperakui' tindakan dan hukuman yang dikenakan. Itulah sebabnya, tiada seorang pun yang dilantik menjadi Ketua Bahagian selepas Lembaga Disiplin mengenakan hukuman.
Sepatutnya, sebaik sahaja Lembaga Disiplin mengumumkan hukuman, MT sepatutnya bertindak proaktif dengan melantik pengganti. Ini yang berlaku dahulu, zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno.
Jika tidak, mengapa MT tidak mengumumkan sahaja jawatan Ketua Bahagian itu dipangku buat sementara oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri atau mana-mana anggota MT yang berdekatan dengan bahagian tersebut.
Malangnya, mungkin sengaja MT mahu 'memperendah-rendahkan kredibiliti Lembaga Disiplin' membiarkan bahagian-bahagian yang terlibat dengan tindakan Lembaga Disiplin tidak mempunyai Ketua Bahagian dan Timbalannya pula tidak dilantik menjadi Pemangku Ketua Bahagian.
Atau, melantik calon-calon yang 'dikalahkan' (baca dikalahkan kerana tipu muslihat, politik wang dan permainan politik kotor) menjadi Ketua Bahagian yang baru kerana merekalah yang sebenarnya layak menjadi Ketua Bahagian kalau tidak ada politik kotor, tipu muslihat dan politik wang.
Kita tunggulah sahaja ke mana sebenarnya Lembaga Disiplin selepas ini? Apakah kehadiran mereka hanya sekadar mahu mengurangkan cakap-cakap politik wang berleluasa di dalam pemilihan Umno atau, kehadiran mereka sekadar mendekatkan mereka dengan orang-orang yang berkuasa; yang menjanjikan peluang perniagaan kepada anggota Lembaga Disiplin.

-habis-
Comments:
Tinggalkan aje UMNO itu.Bukan ada feadah pun. Jangan diam aje lakukan sesuatu agar UMNO jadi sejarah
 
Definisi politik wang tidak mengikut peruntukan rasuah dan ini menyebabkan tindakan menyeluruh seperti mana tindakan di kenakan keatas perasuah tidak dapat di ambil. Membeli undi bukan sama dengan mengambil wang untuk anugerah projek. Dalam ertikata lain adakah membodek dengan mengorbankan apa sahaja - baik harta mahupun masa untuk mendapatkan tempat di mata kepimpinan satu unsur rasuah?
 
Bagi umno tafsiran politik wang bukannya RASUAH. Sebab tu bagi penganut parti rimba dan kuno itu politik wang adalah halal dan rasuah adalah harus. Politik wang dan rasuah dibenarkan dalam umno.

Kalau masuk umno amalan politik wang dan rasuah tidak berdosa. Sebab politik umno bukan ada kena mengena dengan agama. POLITIK SUKU AGAMA SUKU. Bermaksud politik tidak boleh campur dengan agama.

Sebab tu dasar kerajaan Had Hari umno bercelaru habih. Orang yang nak mengimarahkan masjid disekat habis, sebaliknya orang maksiat yang ditangkap oleh JAWI dipertahan habis.

NAK TUNGGU DALAM UMNO LAGI KE???
 
Keputuan PRU.12/2008 jelas menandakan UMNO perlu berbuat sesuatu bagi mengembalikan keyakinan dan semangat ahli untuk terus berjuang bagi memastikan UMNO masih relevan dalam memperjuang kepentingan orang melayu.
 
salam..saya nak bagi satu komenlah...orng melayu memang mudah lupa diri.."melayu mudah lupa" istilah itu memang sesuai untuk orang orang melayu...
 
Post a Comment

<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?